Sunday, 10 August 2014
Penuntut turun padang kutuk Zionis
04:18
No comments
ALOR SETAR - Golongan mahasiswa tidak terkecuali mengadakan demonstrasi aman mengajak seluruh rakyat Malaysia membantah kezaliman Israel yang menyerang bumi Gaza serta membunuh rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.
Pengarah program Solidariti Selamatkan Gaza, Muhammad Azri Zamrin berkata, bantahan hendaklah dilakukan secara berterusan sehingga memberi impak kepada Israel yang sewenang-wenangnya memusnahkan rumah dan bangunan penduduk Gaza.
“Kami anjurkan program ini untuk menyedarkan masyarakat sekeliling tentang apa yang berlaku di Gaza sekarang. Biarpun hanya disertai 50 mahasiswa daripada Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM Arau) namun objektif yang ingin disampaikan mencapai sasaran,” katanya.
Program anjuran sebuah NGO gabungan mahasiswa, Lion Dream Maker Academy dengan kerjasama Majlis Perunding Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu bermula di pekarangan tempat meletak kereta di Pasaraya Star Parade, sebelum berarak menuju ke Pusat Dakwah sebelum meneruskan perarakan ke Pekan Rabu.
Muhammad Azri berkata, peserta berhimpun secara aman di hadapan Pekan Rabu dan turut mengadakan ‘flashmob’ membantah kekejaman Israel terhadap Palestin selain menyuarakan sokongan terhadap Gaza.
“Kami seterusnya meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir di Masjid Zahir sambil membawa sepanduk berkaitan.
"Sekali lagi kami berhimpun secara aman di Dataran berhadapan Masjid Zahir untuk menyatakan sokongan itu,” katanya.
Menurutnya, solidariti itu akan diteruskan di beberapa lokasi terpilih dalam masa terdekat bagi membangkitkan kesedaran umum tentang kesengsaraan saudara seIslam di Gaza.
“Kami mahu beri kesedaran apa yang berlaku di Gaza khusus kepada golongan belia dan mahasiswa, di mana risalah berkaitan turut diedarkan,” katanya.
Muhammad Azri berkata, sejumlah RM28,300 hasil sumbangan daripada Tabung Kebajikan Gaza sudah disalurkan kepada penduduk Palestin pada Aidilfitri lalu, menerusi wakil Lion Dream Maker Academy yang berada di Syria.
Sumber Sinar Harian Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)






0 comments:
Post a Comment